Kisah seorang kawan@IBU yang tabah...
Pada hari Isnin malam Selasa minggu lepas, saya kebetulan agak kepenatan, setelah Solat Isyak dan makan malam, kemudian saya tertidur di samping anak bongsu yang berusia lima tahun. Lebih kurang pukul tiga pagi, saya terjaga dari tidur kerana terasa gigitan nyamuk, kemudiaan bangun dan mencari 'sheltox', terus saya ingin menyambung semula tidur kerana badan masih terasa kepenatan setelah seharian di pejabat.
Agak pelik ... saya cuba melelapkan mata namun tidak berjaya, lalu saya mencapai buku " Tarbiyatul Aulad" @ Pendidikan Anak-anak, yang kebetulan ada di sisi, iaitu hasil kajian dan tulisan Dr. Abdullah Naseeh Ulwan, seorang Ulama yang terkenal.
Kebetulan saya pun terbelek muka surat 62-63, yang membicarakan tentang kisah Nabi SAW, di mana pada suatu hari Baginda SAW merasa sedih dan berlinangan airmata Baginda SAW tatkala melihat seorang anak yang sedang nazak, dan rohnya hampir-hampir akan tercabut. Ia menggambarkan rasa kasih sayang Nabi SAW kepada semua Umatnya tak kira kecil atau dewasa, dan juga pengajaran kepada kita semua, tentang rahmat dan belas kasihan yang telah ALLAH campakkan ke lubuk hati setiap manusia secara semulajadi. Ya ... itulah rasa kasih sayang sesama manusia.
Kemudian saya terus membaca buku " Tarbiyatul Aulad" .... sebuah hadis di riwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim, daripada Usamah Bin Zaid, katanya : Salah seorang puteri Nabi SAW telah mengutus seseorang kepada ayahandanya iaitu Rasululllah SAW, mengkhabarkan bahawa anaknya sedang nazak, maka segera lah datang! Maka NAbi SAW menjawab utusan itu dengan menyampaikann salam dan dengan sabdanya :
" Sesungguhnya kepunyaaan ALLAH apa yang
diambilnya, dan kepunyaanNnya pulalah apa yang diberiNya. Dan tiap-tiap sesuatu
di sisiNya adalah dengan ajal yang tertentu, maka suruhlah dia ( ibunya )
bersabar dan berserah diri kepada ALLAH" .
Entah kenapa hati saya amat tersentuh sekali ketika membaca kisah tersebut, ujiian ALLAH SWT kepada hamba-hambaNya dalam pelbagai bentuk, dan amat sedih sekali jika ditakdirkan kehilangan orang-orang yang kita sayangi terutama anak-anak yang masih kecil permata hati kita. Namun secara tidak langsung saya memohon kepada ALLAH SWT, agar saya dapat menjadikan kisah dan sabda Nabi SAW itu sebagai pengajaran untuk menghadapi apa jua kerenah anak-anak yang sedang membesar.
Keesokkannya, lebih kurang pukul 9.30 pagi, saya mendapat panggilan dari suami memberitahu suatu berita yang menyedihkan, iaitu tentang seorang kawan, juga seorang Ustazah yang mengajar satu sekolah dengan suami saya, anaknya yang baru berusia setahun setengah kembali ke Rahmatullah. Inna lillahi wainna ilaihi Raajiuun! . Darinya kita datang dan kepadNya jua kita dikembalikan.
Sekaligus saya recall semula apa yang saya alami pada pagi tadi, iaitu kira-kira jam 3.00 pagi dan keadaan saya yang begitu susah melelapkan mata, akhirnya menatapi buku " Tarbiyatul Aulad" .... rupa-rupanya anak seorang kawan saya telah dijemput TUHANnya. Terbayang wajah seorang kawan yang pastinya sedang bersedih kerana anaknya itu adalah yang kedua meninggal dunia. Setahu saya anak kecil itu lahir tidak cukup bulan ( tujuh bulan dalam kandungan ) premature, biasanya bayi mudah mengalami pelbagai komplikasi kesihatan walaupun ramai yang sihat walafiat selepas kelahiran dan mereka membesar seperti anak-anak yang lahir normal @ cukup bulan . Namun si kecil tadi agak kuat kerana mampu bertahan sehingga usianya setahun setengah.
Terlintas di fikiran saya, betapa seorang ibu iaitu kawan saya sedang diuji oleh ALLAH SWT, amat hebat ujian itu, namun pastinya ujian ALLAH biasanya ditimpakan kepada orang yang mampu menghadapinya. Jadi rupa-rupanya secara tidak langsung apa yang saya baca kerana tidak dapat lelapkan mata itu, ada sesuatu yang mungkin sedang berlaku ketika itu.
Alhamdulillah, pada malam Isnin, 4 Ogos yang lalu, saya dan suami menziarahinya dan ingin sekali bertemu dengannya untuk mengucapkan TAKZIAH, jadi saya berkesempatan bertanya sendiri kepada si ibu ini apa sebenarnya yang berlaku. Apakah anaknya yang diberi nama SYIFA" demam dan menunjukkan tanda-tanda keuzuran yang ketara, atau bagaimana keadaannya sebelum disedari telah meninggal dunia. Mengikut cerita kawan saya itu, anak kesayangannya itu meninggal semasa tidur, dia sediri tidak pasti pukul berapa anaknya dijemput ajal, dia hanya menyedari setelah kaki anaknya terasa sejuk.
MasyaALLAH, betapa mudahnya ajal mejemput si kecil kembali kepada Penciptanya. Kata kawan saya: " Mungkin ALLAH ingin mengurangkan kesedihan ana kerana tidak melihat saat-saat kematiaan anak itu". Begitulah hebatnya jiwa kawan saya, benar-benar redha dengan takdir yang menimpanya.
Kemudian saya kembali bermuhasabah ... sebagai ibu, pernahkah kita sesekali memarahi anak-anak kita sehingga terkeluar perkataan seperti " apalah nasib dapat anak macam ni " , atau " lebih baik Umi dapat anak lain ... jangan seperti ini! ". Pastinya seorang ibu yang penuh rasa kasih sayang tidak sanggup berpisah dengan anak-anak mereka walau sesaat kecuali dalam keadaan terpaksa seperti pergi bekerja, ada out station, atau anak-anak yang telah belajar di sekolah Menengah dan mereka tinggal di sekolah berasrama penuh dll. Barulah perasaan rindu, teringat kepada segala gelagat mereka sejak kecil hinggalah mereka meninggalkan kita kerana ke sekolah berasrama.
Jadi, anak-anak kita adalah anugerah dari ALLAH TAALA, jangan sia-siakan kurniaan ini kerana ia juga adalah rezeki pemberian berharga dari AL RABB, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Biar kecil hati dan marah membuak-buak terhdap perilaku anak-anak, kita perlulah belajar bersabar dan terus bersabar di samping memperbaiki dan memperelok tingkah laku mereka dalam apa jua keadaan. Jangan setelah mereka meninggalkan kita @ ajal mereka lebih dahulu dari kita barulah kita sedih dan menyesal.
Apa pun, saya sekali lagi ucapakan sekalung TAKZIAH kepada kawan saya sekeluarga, semoga mereka tetap tabah menerima segala qadha dan qadar ALLAH.
Saya amat kagum kerana beliau seorang guru@ustazah yang dikurniakan sepuluh orang cahaya mata dan dua dari mereka telah kembali kepada YANG ESA semasa kecil.
Apa pun, kita bersyukurlah dengan segala pemberian ALLAH termasuklah anak-anak kita yang sedang membesar di depan mata kita dan pandanglah mereka dengan penuh rasa kasih sayang di samping sentiasa memanjatkan doa yang tidak putus-putus agar merekalah Quratun a'yyun kita di dunia ini dan di akhirat sana ... agar merekalah yang akan menjadi pewaris kita untuk menegakkan kebenaran ISLAM di bumi ini ... merekalah yang akan menjaga kesuciaan AGAMA yang kita sayangi ini.
0 comments:
Post a Comment