Perkataan H.A.T.I, atau qalbu dalam Bahasa Arab merupakan kalimah yang sinonim dengan jiwa manusia. Pastinya insan tak punya hati adalah manusia yang tidak punya perasaan dan tak layak bergelar manusia. Buta hati pula merujuk kepada manusia yang tidak dapat melihat kebenaran yang jelas di depan matanya. Ia juga bermaksud manusia yang menafikan kebenaran dan kebaikan dan memilih keburukan dan kefasadan. Baik Hati pula bererti manusia yang ada sifat belas ihsan terhadap sesama insan, lebih-lebih lagi terhadap golongan yang lemah dan sedang menderita. Lawannya pula Keras Hati, mafhumnya ialah orang yang susah untuk menilai sesuatu perkara sekalipun jelas kebenarannya, sukar dipujuk dan kekadang terlalu ego dengan diri sendiri. Kita juga selalu berpesan kepada anak-anak supaya berhati-hati jalan raya. Jatuh hati pula akan membuatkan manusia lemas dalam perasaan mereka terhadap terhadap orang lain. Kecil hati juga cukup membuatkan manusia bermasam muka dan berkelahi.
Bagaimana kita ingin mendidik anak-anak kita tentang HATI ? Sebagai ibu, seringkali juga kita terpaksa mengggunakan cara halus dan lembut untuk memujuk dan mengambil HATI mereka, sekiranya mereka merajuk atau memberontak! Maka ibu-ibu yang terpaksa berdepan dengan cabaran anak-anak yang keras hati pastinya mereka sendiri makan hati dengan anak-anak mereka !!! Namun, ibu Solehah pastinya memiliki sekeping HATI yang lembut, halus, penuh kasih sayang serta sanggup makan HATI demi untuk jaga HATI anak-anak bahkan juga para suami mereka. Banyak keadaan IBU sendiri terluka HATInya, sakit HATInya, menangis seorang diri dan akhirnya memujuk HATI nya sendiri.
Cabaran besar buat para IBU, bagaimana kita mendidik anak-anak kita agar mereka faham persoalan di antara HATI @ JIWA @ PERASAAN, hubungan di antara ketiga-tiga kalimah tersebut dengan fitrah manusia dan keinsanan manusia, juga persoalan hati dan pengurusan hati.
Pertama, sebagai ibu, kita perlu mengajarkan mereka agar memahami kenapa Allah Taala menjadikan setiap manusia mempunyai HATI @ perasaan. Organ HATI pula adalah salah satu organ dalaman yang penting, yang menentukan hidup atau matinya seseorang manusia. Ianya juga akan menentukan sihat atau sakitnya manusia. Salah satu penyakit yang menggerunkan manusia di abad ini, ialah Penyakit yang berpunca dari kerosakan organ hati dan kegagalan fungsinya kepada tubuh manusia. Ramai pesakit yang menghadapi masalah yang berkaitan dan berpunca dari kerosakan fungsi hati, akhirnya terpaksa menjalani pembedahan dan akhirnya hati mereka terpaksa dibuang. Apakah orang yang tidak lagi mempunyai organ HATI secara automatik mereka sudah tidak punya hati dan perasaan? Apakah mereka tidak lagi merasai wujudnya sesuatu yang bersifat " sense " @ feeling dalam diri mereka atau sebaliknya?.
Islam sebagai Agama yang bersesuaian dengan fitrah manusia, jelas sekali tidak melupakan aspek HATI dan peranannya di dalam membina sifat-sifat keinsanan dan kemanusiaan. Acapkali manusia-manusia yang kufur serta engkar dengan perintah Allah dan SyariatNya, disebut sebagai manusia yang telah tidak lagi memiliki HATI yang hidup dan rasional seperti dalam firman Allah SWT :
لهم قلوب لا يفقهون بها -
Mereka itu adalah golongan yang disifatkan Allah di dalam ayat 10 surah Al Baqarah sebagai manusia mempunyai hati yang berpenyakit,
(( في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون ))
" ... di dalam hati mereka ada penyakit, kemudian Allah tambahkan lagi penyakit kepada mereka, dan bagi mereka azab yang pedih terhadap apa yag mereka dustakan ( semasa di dunia ) ". Ya, pastinya azab Allah tersedia untuk mereka.Itu adalah ancaman yang keras moga-moga mereka mencari jalan pulang ke arah Iman dan Islam.
Justeru, lihatlah di sekeliling kita semakin ramainya manusia yang bersikap sedemikian. Rupa-rupanya Allah SWT menambahkan lagi penyakit-penyakit kepada mereka, akhirnya bertambahlah bilangan manusia-manusia yang bersifat hasad dengki, keras hati, buta hati, khianat, tamak dan haloba ... semunya berpunca dari masalah HATI dan kegagalan hati untuk menjalankan peranannya sebagai pencetus dan pembisik kepada aqal manusia.
Mereka yang sifatkan oleh Al Quran di dalam ayat di atas di atas masih sebagai manusia, namun HATI mereka tidak lagi berfungsi untuk memandu pemiliknya ke arah kebaikan atau petunjuk Allah Taala. Jadilah manusia itu berhati batu, keras hati, buta hati, busuk hati, tidak berhati perut, dan akhirnya kekal di dalam kekufuran dan maksiat hingga ke akhir hayat mereka, Nauzubillhi min zaalik.
Betapa anak-anak kita perlu dididik mengenal dan sekaligus menjaga HATI mereka kerana hanya HATI dan amal soleh sahaja yang akan menjadi asset kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat. Ramai manusia hari ini tidak senang HATI apabila semakin ramai manusia ingin kembali kepada Hidayah Allah. Meluatnya mereka bila melihat semakin ramai artis-artis & selebriti terbuka hati nak pakai tudung, tutup aurat, tinggalkan dunia hiburan, bahkan semakin ramai juga yang ingin kembali kepada kehidupan beragama setelah sekian lama tenggelam di dalam kealpaan . Manusia yang hitam HATInya seakan-akan susah HATI pula bila mereka melihat program-program Agama @ dakwah diperbanyakkan, Alahai!
Jelas, semua perkara yang disebut tadi hampir mempunyai perkaitan secara lansung dan tidak langsung dengan kedudukan HATI manusia, sama ada HATI itu dekat dengan Allah dan AgamaNya ataupun sebaliknya. Tanyalah hati .... tanyalah hati kecil maupun hati besar, Wahai pemilik HATI!!! HATI kita tak pernah menipu. Manusia yang sering lupa dan alpa saja tidak sedar bahawa setiap detik dan setiap lintasan di hati kecil maupun besar mereka semuanya di dalam pengetahuaan Allah Taala YANG MAHA MENGETAHUI.
Wahai Anak-anakku... ingatlah bahawa Allah hanya akan melihat kepada HATI kita ini di samping amalan-amalan kita di dunia, semuanya akan dihitung, dan HATI itu akan berperanan sebagai daya penggerak kepada amalan baik kita, ia juga amat penting supaya apa jua perbuatan kita mestilah diikhlaskan segala niat dan qasadnya, semata-mata mencari keredhaanNYa jua.
Marilah kita ta'dibkan anak-anak kita sentiasa menjaga hati mereka dari sebarang kekufuran dan maksiat yang boleh menghitamkannya. Kembalikan hati kita kepada pemiliknya jua, WaAllahu A'laam.
1 comments:
info tentang organ hati kat sini - Fungsi Organ Hati
Post a Comment