TARBIYATUL AULAD - 1


TARBIYATUL AULAD :
Tanggungjawab ibubapa di era globalisasi.


Bismillahi ar Rahman Ar Rahiim.Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sekian lama terpendam di lubuk hati, saya nak tulis sesuatu yang berkaitan pendidikan anak-anak, terutama anak-anak kita yang pasti menghadapi 1001 cabaran di abad 21. Rata-rata ibubapa yang berusia sekitar 20-50 tahun, pastinya adalah hasil sistem pendidikan di pertengahan dan akhir abad 20. Jadi, sebagai ibu bapa, kepada anak-anak yang akan membesar di abad 21, perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa era ini pastinya menjadi medan tarbiyyah anak-anak kita, tak kira bangsa dan agama, kerana apa saja perubahan yang berlaku di seluruh dunia akan memberikan impak semaksima mungkin kepada pendidikan minda, emosi dan spiritual anak-anak. Jadi tidak dapat tidak kita perlu bersedia mendidik mereka bukan berdasarkan zaman kita, bahkan untuk mereka berdepan dengan abad kini dan akan datang . Sebagai ibubapa muslim, tidak wajar sama sekali kita melupakan aspek Agama yang menjadi tunjang kepada pendidikan mereka. Masa depan Islam bergantung kepada Iltizam mereka dan sejauh mana kefahaman mereka tentang agama mereka. Risaunya kita, apabila kita tak mampu menyekat aliran media eletronik, media cetak, internet dll, datang bagaikan tsunami mengubah aliran pemikiran dan gaya hidup masa kini. Alat komunikasi seperti handphone dah jadi trend sehingga agak sukar nak pisahkan mereka dengan apa saja aliran terkini lagi canggih.

Teringat saya satu komen Dr. Yusuf dari Department Usuluddin, IIUM dalam satu forum yang diadakan bertajuk : Globalisasi dan Impaknya kepada Masyarakat, beliau menyebut tentang 3 perkara menjadi wajib dalam kehidupan golongan muda hari ini termasuklah mahasiswa/wi, iaitu 3K: Kondominium, Kad Kredit dan Kancil? Mungkin Dr. Yusuf hanya sekadar membawa satu contoh realistic dari fenomena baru yang melanda masyarakat moden hari ini, termasuklah warga kampus yang masih menuntut di IPTA/IPTS. Walaupun sekadar memiliki sebuah kereta kancil, ianya seakan akan satu petunjuk bahawa golongan yang masih belajar dan belum bekerjapun dah mula mengejar impian mereka untuk meraih kemewahan hidup. Era globalisasi hari ini seakan-akan mendesak manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sehingga pada satu tahap mereka sanggup meninggalkan aspek agama .













Kembali kepada topik yang saya telah perkatakan sebelum ini, apa persediaan kita ( ibu bapa) untuk memahami era globalisasi ini tanpa memencilkan aspek agama? Bagaimana kita bertindak menyaringkan unsur-unsur positif dari unsur-unsur negatif yang mungkin secara tidak langsung akan mempengaruhi anak-anak kita ? Satu kedudukan yang teramat sukar, kerana situasi hari ini sama sekali tidak mengizinkan kita menutup terus sumber maklumat yang berlegar-legar di sekeliling kita. Seringkali unsur-unsur yang baik menyelit-nyelit di sebalik keburukan dan kejahatan, hatta kita tak dapat menangkis iklan-iklan yang tidak berakhlak sama ada memaparkan produk tempatan maupun dari barat, yang ditayangkan sebagai selingan di celah-celah laporan berita.

Memang tidak wajar kita mengambil sikap terlalu prejudis terhadap globalisasi. Sebagai contoh, kita sebagai ibu bapa pastinya tak boleh menafikan hak anak-anak untuk menjalani kehidupan yang selesa dan berteknologi, tidak ketinggalan zaman, dan penuh bermaklumat. Namun… sebagai ibubapa Muslim, yang bercita-cita melahirkan generasi Islam yang mewarisi segala ilmu Islam sama ada fardu ain atau kifayah, pastinya pening kepala mencari pendekatan yang fleksible dan praktikal agar anak-anak tetap istiqamah berpegang dengan ajaran Islam yang suci . Contoh yang paling simple, ialah bagaimana kita ingin melatih mereka menghargai masa, mendidik mereka agar tidak menghabiskan masa yang amat berharga dalam hidup setiap insan dengan sia-sia. Cabaran kepada kita kerana tarikan media elektronik terutamanya menghidangkan pelbagai program kanak-kanak dan remaja yang berbagai corak dan imejan, yang sebahagian besarnya bercorak hiburan dan meloyakan, bahkan seringkali juga kita terpaksa gunakan kuasa veto kita untuk menukar channel tv!.

Ya Allah, masih saya ingat waktu kecil-kecil dulu ( sekitar 70an), terdengar saja kereta ayah baru balik dari kerja atau urusan luar, tak banyak soal terus tutup tv. Tak pasti pulak adakah disebabkan takut pada ayah atau terlalu respect padanya sehingga tak perlu tunggu arahan tutup tv. Itu kisah saya lebih 3o tahun yang lalu. Berbalik kepada realiti kita dan anak-anak di abad 21, keadaannya semakin sukar untuk dikawal, tanpa kawalan yang berkesan, tak mustahil anak-anak kita tak pandai bergaul dalam masyarakat, hanya terperap di rumah bermain game atau tengok rancangan tv.

Nampaknya kita perlu mencari pendekatan yang lebih praktikal dan realistik, berpandukan kepada sumber WAHYU ( Al Quran & as Sunnah) , contohnya mendidik mereka dengan tasawwur yang jelas dan tepat tentang Islam, isi hati mereka dengan ilmu-ilmu Islam dan pada masa yang sama mereka boleh menerokainya menerusi internet. Mereka perlu dididik bahawa ianya hanya alat dan wasilah untuk mendapatkan maklumat atau apa jua info yang berguna dan sebaliknya. Sumber- sumber yang banyak dan pelbagai boleh dijadikan bahan untuk mereka menggarap dan menyaring pelbagai ilmu.

Kita tak menyalahkan alat, namun pengisiannyalah yang penting. Kalau musuh-musuh Islam menggunakan internet, blogs, sms dll untuk fitnahkan Islam, kita juga mesti menggunakan cara yang sama, perkenalkan Islam dan kebenarannya, sebarkan kebaikannya, ceritakan keagungan dan kegemilangan Umat Islam yang terbukti di dalam sejarah peradaban manusia sebagai manusia yang hebat dan gemilang kerana mereka tidak pernah kenal erti pemisahan ilmu dan agama.

Conclusionnya, perkara asas yang mesti kita lakukan ialah kita isi dulu dada anak-anak kita dengan Aqidah, Iman dan Islam, fahamkan mereka kenapa Agama Islam ini pilihan kita, panduan hidup kita, bukan sekadar agama warisan ayah ibu dan nenek moyang semata-mata . Saya cadangkan kita sendiri perlu menjadi naqib dan naqibah kepada anak-anak kita, dan juga saya cadangkan buku " ما ذا يعني إنتمائي للإسلام " "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" tulisan Fathi Yakan sebagai rujukan kita, kerana isinya cukup sesuai untuk dibacai dan dihayati oleh anak-anak kita. Bolehkah kita mulakan sekarang? Kenapa tidak…. Demi untuk anak-anak kita dan agama yang kita cintai. Siapa pun kita, pastinya kita ingin melihat anak-anak kita adalah harapan kita, Agama dan bangsa kita untuk menyambung amanat dan perjuangan dalam menegakkan kebaikan dan menyebarkannya.

0 comments: