TARBIYATUL AULAD- Bicara tentang ilmu & Guru



Betapa ILMU perlu diberikan penekanan yang paling penting buat anak-anak kita, agar mereka faham bahawa tanpa ILMU siapalah kita yang bernama manusia. Tanpa ILMU, manusia hanya dikenali sekadar manusia yang memiliki fizikal, jasad, aqal ...tak lebih dan tak kurang dari itu. Ramai sekali manusia yang hanya meletakkan ILMU hanya sebagai pencapaian formaliti semata tanpa melihat hubungkaitnya dengan kehidupan manusiawi itu sendiri.

Sewajarnya kita, sebagai ibubapa menjadi pembimbing, pendidik merangkap MURABBI yang terbaik kepada mereka, zuriat-zuriat kita sendiri. Bagi setengah ibubapa merasakan sudah cukup pengorbanan mereka apabila mereka bersusah payah menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah, kemudian menengah, kemudian ke peringkat kolej dan Universiti. Selepas itu kita beranggapan mereka sendirilah yang bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.

Mungkin, itu tradisi lama, yang sepatutnya dihapuskan. Apa keadaan sekalipun, anak-anak sentiasa memerlukan bimbingan ibu ayah mereka dalam meniti setiap saat dalam kehidupan mereka agar mereka lebih yakin dan terarah mencari laluan hidup yang bercahayakan suluhan RABBANI.

Abad kini cukup menggerunkan bagi kita, kerana kita bertanggungjawab, sama ada secara langsung atau tidak memastikan anak-anak kita berjaya dalam kehidupan mereka duniawi & ukhrawi. Oleh demikian, pernahkah kita serius berfikir dan merenung sejenak: " Apa agenda kita untuk mereka? Atau kita biarkan mereka sendiri berimaginasi .... nanti besar nak jadi apa ya? Kerap soalan itu soalan cepu mas para ibubapa samada dengan tujuan kita memancing mereka supaya menyatakan minat dan kecenderungan mereka memilih hala tuju setelah dewasa atau sekadar menguji minda mereka . Memang tidak salah kita bersikap profesional dalam menangani anak-anak kita terutama yang telah mencapai usia 18 tahun ke atas dengan memberikan kebebasan kepada mereka merangka masa depan sendiri, seperti kolej mana yang akan mereka belajar setelah tamat SPM, bidang apa yang akan mereka ceburi sebagai Major course atau minor course dll. Namun ibubapa mesti sedar, batu asasnya mestilah bermula seawal usia mereka 3 atau 4 tahun, kerana kita wajar melihat kecenderungan mereka, bakat dan
minat sedari kecil, agar tindakan susulan boleh di atur dan teratur.

Ya, untuk melihat mereka berjaya di dunia dan akhirat, langkah pertama ialah ajar anak menyintai ILMU. Ia adalah asas dan platform, dalam masa yang sama kita ajar juga mereka menghargai segala jasa orang-orang yang berjasa mencurahkan ILMU kepada mereka, meskipun mungkin sekadar mengajar mereka mengeja dan mengira 123 atau alif, ba dan ta semasa di
Tadika@preschool. Jasa orang yang sudi menberikan walau secubit ILMU kepada anak-anak kita mestilah kita hargai sebagaimana kitapun amat bersyukur sekiranya kita juga boleh memberikan apa jua ILMU yang ada pada kita pada anak-anak kita sendiri atau anak-anak orang lain. Yang penting ILMU tidak hanya terhenti kebaikannya kecuali ia semakin berkembang luas dan seterusnya terciptalah sesuatu perkara yang boleh dijadikan buah-buah ILMU.

Jadi sempena "HARI GURU' mengenang jasa setiap guru-guru kita dan guru-guru anak-anak kita, kita patut bersyukur kerana masih ramai yang mencurahkan ILMU di dada mereka dengan penuh ikhlas dan jujur tanpa mengharapkan pujian manusia. Yang paling penting, ianya adalah tanggungjawab setiap makhluk yang bernama manusia, sedar hakikat keinsanan yang menuntut setiap orang menambahkan ILMU mereka selagi tidak bertentangan dengan Syara' dan Manhaj RABBANI. Moga para guru-guru sentiasa bersedia uuntuk menyahut cabaran zaman dan merentas masa, bukan sekadar melahirkan manusia yang memiliki jasad tanpa ruh, memiliki otak tetapi tidak aqal budinya.
Sekian... buat anak-anak kita .... CARILAH ILMU DAN HORMATILAH MEREKA YANG BERILMU YANG SUDI BERKONGSI ILMU DENGAN MEREKA. TIDAK RUGI ORANG YANG BERDAMPING RAPAT DENGAN RAMAI GOLONGAN ILMUAN.

Read More......

ADILLAH DENGAN ANAK

TARBIYATUL AULAD - ADILKAH KITA DENGAN ANAK?



Bicara kita kali ini, ialah mengenai 'ADIL' , begitu senang kita lafazkan sekadar empat perkataan, namun seringkali pula kita tersilap perkiraan ketika kita berinteraksi dengan anak-anak kita. Setiap orang yang bergelar ayah dan ibu, pasti tanpa sedar, anak-anak kita pernah meluahkan rasa hati mereka apabila mereka melihat kita berlaku kurang ADIL ( pada pandangan mereka ) terhadap mereka. Sebagai contohnya, mungkin kita pernah beli pakaian anak sulung kita di sebuah gerai di pasar malam, manakala baju si adiknya pula kita beli di SOGO! . ADIL-kah kita bila kita tidak terniat pun untuk berlaku tidak ADIL, lantas mereka membuat kesimpulan, ayah atau ibu mereka tidak ADIL! .

Dalam banyak keadaan kita sebenarnya cuba berlaku ADIL, misalnya si abang melakukan sesuatu perbuatan yang kita tegah, misalnya menyebut perkataan tidak sopan/ mencarut, pastinya kita mudah melenting dan kalau boleh kita ingin tampar saja mulut si abang sekiranya dia telah faham dan diberitahu berulang-ulang kenapa kita melarang mereka menyebut perkataan itu sekalipun dalam keadaan marah@ tegang seperti bergaduh sesama mereka. Kemudiaan ketika anak kita yang masih kecil sekitar usia 4-7 tahun melakukan perbuatan tersebut, adakah kita juga akan bersikap sama sebagaimana sikap tegahan yang kita lakukan kepada si abang tadi. Dalam situasi sedemikian, saya sendiri seringkali ditegur oleh si abang: " Ummi tidak ADIL! ", tegur si abang yang melakukan perbuatan yang salah, dia berasa tidak puas hati kenapa pula si adik tidak pula kita tegur dan hukum?



Memang keadaan kadang-kadang sukar untuk ditangani, apa yang saya praktikkan, ialah si abang akan dihukum sebagai pengajaran - seperti di cubit mulutnya, jangan lagi melakukan kesalahan berulang setelah banyak kali di'warning' yang sama. Apabila berlaku pun pada si adik, saya hanya akan hukum dengan hukuman yang sama setelah menyatakan kenapa saya melarang mereka mengeluarkan perkataan sedemikian.

Ya, dalam banyak keadaan, anak-anak kita tidak faham kenapa berlaku sikap ibu bapa yang di anggap mereka ' tidak ADIL @ double standard, sedangkan mereka tidak melihat pula kepada sebab dan musabbabnya. Apapun, kita perlulah bijak bertindak dengan tegas tetapi felsible. Manakala di sudut kebendaan pula, kita hendaklah berpada-pada, jangan di atas alasan untuk bersikap ADIL pada mereka, kita pula pokai! Mungkin si abang sebelum kelahiran adik-adiknya kita pernah belikan sehelai dua pakaian, kasut dll berjenama seperti untuk baju raya, kerana tertarik dengan 'sale' atau kualiti sesuatu pakaian. Manakala setelah kelahiran adik-adiknya, kita pula terpaksa berjimat cermat dan mengharapkan kita dapat berlaku ADIL tanpa menzalimi perasaan mereka.


Begitu juga dalam segi pendidikan, ianya cukup mencabar kewibawaan kita sebagai ibubapa. Anak sulung ( lelaki ) saya hantarnya ke sebuah sekolah Rendah Islam ( SRI ) swasta kerana tidak begitu yakin untuk melepaskan anaknya di sekolah Rendah Kerajaan biasa di samping ianya memudahkan saya menghantarnya ke SRI tersebut tanpa terpaksa menghantarnya ke sekolah agama pada waktu pagi atau petang. Akhirnya keputusan yang saya ambil berdasarkan beberapa faktor tadi, dan saya lupakan soal kos yang hampir RM225 sebulan pada tahun 2003. Kemudiaan setelah adiknya mencapai usia 7 tahun dan akan memasuki Tahun Satu, saya menjadi serba salah, adakah saya ADIL jika anak kedua saya hantar ke Sekolah Rendah Kebangsaan yang tidak melibatkan kos bulanan. Maka pada masa itu, saya sebenarnya terasa sedikit tertekan -takut saya tidak berlaku ADIL, kalau si abang saya perihatin tentang pendidikan Agamanya, saya begitu mengharapkan Biah Solehah akan menghasilkan natijah yang saya harapkan. Apakah saya tidak mengharapkan natijah yang serupa kepada anak kedua? Akhirnya saya mengambil keputusan menghantar anak kedua juga ke SRI, maka kosnya menjadi berganda. Begitulah situasi saya yang dipengaruhi oleh sikap ADIL dan bimbang tidak ADIL kepada semua anak-anak saya, sehinggalah kini lima dari anak-anak saya telah saya hantar ke SRI yang sama. Sememangnya amat terasa bebanan kos bulanan dan keperluaan 'wajib' yang lain.

Alhamdulillah, saya hanya berserah kepada ALLAH SWT, saya yakin DIA Maha Mengetahui segala niat saya, kerana saya begitu takut untuk melepaskan anak-anak saya dalam sistem yang tidak seimbang antara tuntutan Agama dan pencapaian akademik, lebih-lebih lagi suasana masyarakt KL yang penuh dengan anasir-anasir negatif seperti masalah sosial yang semakin parah. Kini, anak sulung saya telah tamat Darjah Enam pada tahun lepas 2008, dan telah berjaya memasuki sebuah Sekolah Tahfiz Sains di Kelantan. Harapan saya, kesemua mereka akan mencapai target yang saya tetapkan, iaitu kejayan mereka dunia dan akhirat. Namun saya berharap saya sentiasa bersikap ADIL terhadap mereka semua walaupun kita merasa agak tertekan dari sudut kewangan. Kita sebagai ibubapa hanya mengharapkan yang terbaik untuk mereka, bagi saya duit boleh di cari, pendidikan anak-anak mesti menjadi keutamaan. Nampaknya setakat ini mereka semua 'enjoy' dan 'happy' dengan sekolah mereka dan proses pendidikan yang mereka lalui .

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ( 2009 ), mungkin ramai para ibubapa terpaksa melakukan ' cut budget' dalam banyak urusan yang melibatkan anak-anak. Misalnya hanya anak yang akan menghadapi peperiksaan seperti UPSR, PMR atau SPM yang dibenarkan mengikuti kelas tuisyen, manakala yang pelajaran mereka ok dan tidak terlalu lemah, kita kecualikan. Apa yang penting, kita mesti jelaskan kepada mereka, apa rasionalnya tindakan kita itu. Anak saya yang keempat, ( satu-satunya perempuan ) suatu hari merengek-rengek meminta saya menghantarnya ke sebuah pusat tuisyen. Mungkin sikap anak perempuan sekarang yang kebanyakan menunjukkan minat yang lebih terhadap pelajaran mereka berbanding dengan anak lelaki. Pada mulanya saya kata ok, selepas melihat budget dan beberapa keadaan yang mana saya pasti sibuk menghantar dan mengambilnya ke pusat tuisyen tersebut, sedangkan abangnya telah mula ke pusat tuisyen yang lain kerana akan menduduki UPSR tahun depan.
Saya mula berasa serba salah, dan cuba menjelaskan kepadanya, bahawa pelajaranya ok dan bagus, cuma dia perlu berusaha lebuh kuat lagi dan boleh belajar sendiri untuk menjadi yang terbaik. Lalu, perkataan 'ADIL'kah saya menerjah di fikiran saya, kerana saya takut tidak berlaku ADIL kepadanya tambahan pula dia satu-satunya anak perempuan. sehingga saat ini, saya masih menangguhkan hasratnya untuk ke kelas tuisyen.

Sebagai manusia, kita hanya boleh merancang dan kita harapkan natijah yang terbaik untuk mereka semua, moga mereka bersedia untuk memahami perasaan ayah ibu mereka, yang sekali-kali tidak ingin berlaku zalim terhadap mereka. Moga sifat ADIL para ibubapa boleh mereka pelajari dengan penuh bijaksana dan kita juga sebagai pendidik mereka jangan sekali-kali terdetik untuk bertindak sesuka hati kita tanpa melihat kepada situasi anak-anak, dan Bi'ah di era millinium ini yang cukup mencabar. Moga ALLAH sentiasa mencampakkan 'instinct' yang betul dalam hati kita di saat kita perlu membuat sesuatu keputusan besar untuk permata hati kita. Hanya DIA yang Maha Mengetahui segala niat dan amal kita demi masa depan anak-anak dan amanah di atas bahu kita untuk menjadikan mereka generasi Rabbani yang akan memikul amanah Ad Din.

Read More......












TARBIYATUL AULAD : Bicara Tentang Hati

Perkataan H.A.T.I, atau qalbu dalam Bahasa Arab merupakan kalimah yang sinonim dengan jiwa manusia. Pastinya insan tak punya hati adalah manusia yang tidak punya perasaan dan tak layak bergelar manusia. Buta hati pula merujuk kepada manusia yang tidak dapat melihat kebenaran yang jelas di depan matanya. Ia juga bermaksud manusia yang menafikan kebenaran dan kebaikan dan memilih keburukan dan kefasadan. Baik Hati pula bererti manusia yang ada sifat belas ihsan terhadap sesama insan, lebih-lebih lagi terhadap golongan yang lemah dan sedang menderita. Lawannya pula Keras Hati, mafhumnya ialah orang yang susah untuk menilai sesuatu perkara sekalipun jelas kebenarannya, sukar dipujuk dan kekadang terlalu ego dengan diri sendiri. Kita juga selalu berpesan kepada anak-anak supaya berhati-hati jalan raya. Jatuh hati pula akan membuatkan manusia lemas dalam perasaan mereka terhadap terhadap orang lain. Kecil hati juga cukup membuatkan manusia bermasam muka dan berkelahi.

Bagaimana kita ingin mendidik anak-anak kita tentang HATI ? Sebagai ibu, seringkali juga kita terpaksa mengggunakan cara halus dan lembut untuk memujuk dan mengambil HATI mereka, sekiranya mereka merajuk atau memberontak! Maka ibu-ibu yang terpaksa berdepan dengan cabaran anak-anak yang keras hati pastinya mereka sendiri makan hati dengan anak-anak mereka !!! Namun, ibu Solehah pastinya memiliki sekeping HATI yang lembut, halus, penuh kasih sayang serta sanggup makan HATI demi untuk jaga HATI anak-anak bahkan juga para suami mereka. Banyak keadaan IBU sendiri terluka HATInya, sakit HATInya, menangis seorang diri dan akhirnya memujuk HATI nya sendiri.

Cabaran besar buat para IBU, bagaimana kita mendidik anak-anak kita agar mereka faham persoalan di antara HATI @ JIWA @ PERASAAN, hubungan di antara ketiga-tiga kalimah tersebut dengan fitrah manusia dan keinsanan manusia, juga persoalan hati dan pengurusan hati.

Pertama, sebagai ibu, kita perlu mengajarkan mereka agar memahami kenapa Allah Taala menjadikan setiap manusia mempunyai HATI @ perasaan. Organ HATI pula adalah salah satu organ dalaman yang penting, yang menentukan hidup atau matinya seseorang manusia. Ianya juga akan menentukan sihat atau sakitnya manusia. Salah satu penyakit yang menggerunkan manusia di abad ini, ialah Penyakit yang berpunca dari kerosakan organ hati dan kegagalan fungsinya kepada tubuh manusia. Ramai pesakit yang menghadapi masalah yang berkaitan dan berpunca dari kerosakan fungsi hati, akhirnya terpaksa menjalani pembedahan dan akhirnya hati mereka terpaksa dibuang. Apakah orang yang tidak lagi mempunyai organ HATI secara automatik mereka sudah tidak punya hati dan perasaan? Apakah mereka tidak lagi merasai wujudnya sesuatu yang bersifat " sense " @ feeling dalam diri mereka atau sebaliknya?.

Islam sebagai Agama yang bersesuaian dengan fitrah manusia, jelas sekali tidak melupakan aspek HATI dan peranannya di dalam membina sifat-sifat keinsanan dan kemanusiaan. Acapkali manusia-manusia yang kufur serta engkar dengan perintah Allah dan SyariatNya, disebut sebagai manusia yang telah tidak lagi memiliki HATI yang hidup dan rasional seperti dalam firman Allah SWT :

لهم قلوب لا يفقهون بها -

Mereka itu adalah golongan yang disifatkan Allah di dalam ayat 10 surah Al Baqarah sebagai manusia mempunyai hati yang berpenyakit,


(( في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون ))

" ... di dalam hati mereka ada penyakit, kemudian Allah tambahkan lagi penyakit kepada mereka, dan bagi mereka azab yang pedih terhadap apa yag mereka dustakan ( semasa di dunia ) ". Ya, pastinya azab Allah tersedia untuk mereka.Itu adalah ancaman yang keras moga-moga mereka mencari jalan pulang ke arah Iman dan Islam.

Justeru, lihatlah di sekeliling kita semakin ramainya manusia yang bersikap sedemikian. Rupa-rupanya Allah SWT menambahkan lagi penyakit-penyakit kepada mereka, akhirnya bertambahlah bilangan manusia-manusia yang bersifat hasad dengki, keras hati, buta hati, khianat, tamak dan haloba ... semunya berpunca dari masalah HATI dan kegagalan hati untuk menjalankan peranannya sebagai pencetus dan pembisik kepada aqal manusia.
Mereka yang sifatkan oleh Al Quran di dalam ayat di atas di atas masih sebagai manusia, namun HATI mereka tidak lagi berfungsi untuk memandu pemiliknya ke arah kebaikan atau petunjuk Allah Taala. Jadilah manusia itu berhati batu, keras hati, buta hati, busuk hati, tidak berhati perut, dan akhirnya kekal di dalam kekufuran dan maksiat hingga ke akhir hayat mereka, Nauzubillhi min zaalik.

Betapa anak-anak kita perlu dididik mengenal dan sekaligus menjaga HATI mereka kerana hanya HATI dan amal soleh sahaja yang akan menjadi asset kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat. Ramai manusia hari ini tidak senang HATI apabila semakin ramai manusia ingin kembali kepada Hidayah Allah. Meluatnya mereka bila melihat semakin ramai artis-artis & selebriti terbuka hati nak pakai tudung, tutup aurat, tinggalkan dunia hiburan, bahkan semakin ramai juga yang ingin kembali kepada kehidupan beragama setelah sekian lama tenggelam di dalam kealpaan . Manusia yang hitam HATInya seakan-akan susah HATI pula bila mereka melihat program-program Agama @ dakwah diperbanyakkan, Alahai!

Jelas, semua perkara yang disebut tadi hampir mempunyai perkaitan secara lansung dan tidak langsung dengan kedudukan HATI manusia, sama ada HATI itu dekat dengan Allah dan AgamaNya ataupun sebaliknya. Tanyalah hati .... tanyalah hati kecil maupun hati besar, Wahai pemilik HATI!!! HATI kita tak pernah menipu. Manusia yang sering lupa dan alpa saja tidak sedar bahawa setiap detik dan setiap lintasan di hati kecil maupun besar mereka semuanya di dalam pengetahuaan Allah Taala YANG MAHA MENGETAHUI.
Wahai Anak-anakku... ingatlah bahawa Allah hanya akan melihat kepada HATI kita ini di samping amalan-amalan kita di dunia, semuanya akan dihitung, dan HATI itu akan berperanan sebagai daya penggerak kepada amalan baik kita, ia juga amat penting supaya apa jua perbuatan kita mestilah diikhlaskan segala niat dan qasadnya, semata-mata mencari keredhaanNYa jua.

Marilah kita ta'dibkan anak-anak kita sentiasa menjaga hati mereka dari sebarang kekufuran dan maksiat yang boleh menghitamkannya. Kembalikan hati kita kepada pemiliknya jua, WaAllahu A'laam.

Read More......

MENGIMBAU CERITA SEORANG IBU



MENGIMBAU CERITA SEORANG IBU


Cerita ( 1)
Bulan Mei, setiap tahun , sambutah Hari Ibu diraikan sebagai hari mengenang jasa setiap wanita yang bernama IBU. Sama ada ibu itu wanita biasa, seorang suri rumah, atau seorang career lady, dia tetap seorang ibu, dan title itu valid sehingga ke akhir hayatnya. Manakala kebiasaannya pesan seorang ibu, beribu-ribu.

Lafaz yang teramat indah yang biasa kita dengar ialah" IBU, KAULAH RATU HATIKU " seringkali didendangkan oleh anak-anak yang mengenang dan menghargai jasa mereka, kerana kita juga ( wanita ) adalah ibu pula kepada anak-anak kita. Islam mengajar kita menghormati mereka ( Ibu & bapa ), berbudi dan menyantuni mereka selagi mereka masih hidup.
Syair Arab yang indah mengatakan:

الأُمُّ مَدرسةٌ إذا أعددْتَهَا * أعْدَدْتَ شَعْبا طَيِّبَ الأعرَاقِ
IBU itu laksana sekolah jika anda menyediakannya * samalah seperti anda menyediakan suatu Ummah yang baik keturunannya.

Mek sedang menyampaikan pesanan dan nasihat sepada anak cucunya sempena Hari Keluarga , 2007 di Pantai Nipah, Bachok Kelantan.

Inilah sedikit ceritaku , seorang seorang dan dia adalah IBU ku, walaupun dia adalah wanita biasa, namun memiliki sifat-sifat Muslimah Solehah, yang cekal dan tabah, berhati waja mengharungi hidup tanpa suami di sisinya. Benarlah hadis Nabi SAW yang mengatakan :
الدنيا متاعٌ وخَيرُ متاعِها المرأةُ الصالحةُ - رواه مسلم
" Dunia itu adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasannya ialah wanita Yang Solihah"

Ya, Kebaikan hati IBU, kesabarannya membesarkan anak-anak seramai 9 orang, empat lelaki dan lima perempuan .... menuntut sebuah ketabahan dan kecekalan.Dia juga seorang mujahidah qaanitah … sentiasa menyampaikan kebaikan kepada para Muslimah yang lain. Inilah sedikit ceritaku , seorang IBU, walaupun dia adalah wanita biasa, namun memiliki sifat-sifat Muslimah Solehah, yang cekal dan tabah mengharungi hidup tanpa suami di sisinya.

Kebaikan hati IBU, kesabarannya membesarkan anak-anak seramai 9 orang, empat lelaki dan lima perempuan .... menuntut sebuah ketabahan dan kecekalan.Dia juga seorang mujahidah qaanitah … sentiasa menyampaikan kebaikan kepada para Muslimah yang lain.

Mek & keluarga Abang Zie

cerita (2)
Alhamdulillah, tanpa diduga kami anak-anaknya mencalonkannya sebagai IBU MITHALI peringkat negeri Kelantan, tanpa harapan yang tinggi, tidak bertujuan untuk berbangga atau untuk bertanding dengan sesiapa. Cukup bagi kami anak-anaknya mengharapkan Si IBU, akan menjadi contoh insan yang patut dijadikan qudwah kepada para IBU-IBU yang lain, khususnya di Negeri Kelantan.

Sesuci hatimu ... IBU
sebening wajahmu
Akhirnya, ibu yang kami panggil "Mek" menerima Anugerah Ibu Mithali, kategori Maryam Ummu Isa a.s, peringkat Negeri Kelantan, 2007. Maka pada 7hb OGOS 2007, kembali anak-anakmu ke pangkuanmu, merindui belaian kasih sayang dari seorang ibu, Alhamdulillah, kami meraikan penghargaan terhadap ibu kami dengan penuh syukur agar kami juga akan mengikuti jejak langkahnya, khususnya bagi anak-anak perempuannya yang seramai lima orang, manakala anak lelaki pula agar menjadi bapa-bapa yang baik dan soleh.


Sama-samalah kita renung Firman Allah SWT, dalam Surah al Furqan: 74

ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرةَ أعيُن واجعلنا للمتقين إماما

74. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.

Itulah di antara nikmat yang mesti dipohon oleh setiap Muslim dan Muslimah, kerana nikmat berkeluarga dan mempunyai ahli keluarga samada bilangan kecil atau besar, yang paling penting setiap ahlinya beriman dan taat kepada perintah Allah Taala.Maka jaminan Allah Taala bahawa kebaikan yang bakal diterima tidak terhenti setakat di dunia sahaja, tetapi ganjaran di sisiNYa akan berterusan sehingga ke akhirat nanti.

Cerita ( 3 )
Masih ku ingat... sejak kecil sehingga meningkat usia remaja … walaupun tidak menjadi anak manja atau anak emas, ku sentiasa merasai kasih sayang seorang ibu yang tidak ternilai hebatnya, meskipun tidak pernah dilafazkan di bibirnya. Namun pengorbanan seorang IBU dan seorang insan Mujahidah itu amat bermakna buat anak-anaknya.Dia, seorang wanita @ jua IBU ... tetap cekal, tabah dan teguh pendiriannya, biar lelah, biar penat mendidik kami anak-anaknya, didikan agama adalah keutamaa baginya, meskipun tanpa suami di sisi dia yakin Allah SWT adalah sumber kekuatanya.

Dari segi sikap dan perwatakan, Mek tidaklah begitu tegas dalam mendisiplinkan anak-anak, tapi kami seakan-akan faham kelembutan ibu ada batasnya. Apa yang kami amat kagumi ialah kesetiaan Mek terhadap ayah, tak terlintas untuk mencari pengganti. Impiannya hanya untuk memastikan kesemua anak-anaknya berjaya di dalam hidup mereka duniawi & ukhrawi, dan tidak tercicir dalam pelajaran. Apa pun terbukti kecekalan Mek dan kesabaran Mek yang sanggup harungi segala rintangan membesarkan kami 9 beradik, 5 perempuan,4 lelaki dengan hanya meneruskan sebuah kedai runcit dan sedikit wang pencen ayah .

Hebatnya dia, seorang IBU, hanya tahu bekerja dan memastikan semua anak-anaknya mendapat didikan agama, berakhlak mulia dan membina keluarga dengan restunya.Kami, anak-anak yang masih bersekolah selepas kematian ayah pada tahun 1979… pandai membawa diri masing-masing tanpa meminta kecuali apa yang perlu sahaja, tidak pandai bermewah-mewah apatah lagi menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada. Tak terlintas untuk bermewah-mewah, sekadar yang diberi , kami akur tidak mahu menyusahkan ibu.Kami bersyukur dengan apa yang ada.

Cerita ( 4 )
Syukur... segalanya berjalan lancar, dipermudahkan Allah, Alhamdulillah , kesemua anak-anakmu telah berkeluarga dan bertemu jodoh dengan insan-insan yang baik ... moga cucu-cucumu yang kini berjumlah setakat ini lebih kurang 53/54 orang pula semuanya akan mewarisi sifat-sifatmu, menjadi anak soleh dan solehah, musleh muslihah, mujahid dan mujahidah, generasi cemerlang dan gemilang di dunia dan akhirat. Kudoakan untuk seorang IBU yang melahir dan membesarkanku, agar sentiasa dilindungi dan diberkati sehingga ke akhir hayatmu ...
Ya Allah, Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa-dosa kami, berkatilah keluarga kami ini di dunia dan akhirat, istiqamahkanlah hati-hati kami dengan cahaya Iman dan Taqwa, AMIN YA RABBAL A'LAMIIN.




Sambutah Hari Keluarga, pada Hari raya Aidil Fitri, 2007, di Kampung Nipah Bachok, kampung kelahiran kami.

Read More......

TARBIYATUL AULAD - 1


TARBIYATUL AULAD :
Tanggungjawab ibubapa di era globalisasi.


Bismillahi ar Rahman Ar Rahiim.Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sekian lama terpendam di lubuk hati, saya nak tulis sesuatu yang berkaitan pendidikan anak-anak, terutama anak-anak kita yang pasti menghadapi 1001 cabaran di abad 21. Rata-rata ibubapa yang berusia sekitar 20-50 tahun, pastinya adalah hasil sistem pendidikan di pertengahan dan akhir abad 20. Jadi, sebagai ibu bapa, kepada anak-anak yang akan membesar di abad 21, perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa era ini pastinya menjadi medan tarbiyyah anak-anak kita, tak kira bangsa dan agama, kerana apa saja perubahan yang berlaku di seluruh dunia akan memberikan impak semaksima mungkin kepada pendidikan minda, emosi dan spiritual anak-anak. Jadi tidak dapat tidak kita perlu bersedia mendidik mereka bukan berdasarkan zaman kita, bahkan untuk mereka berdepan dengan abad kini dan akan datang . Sebagai ibubapa muslim, tidak wajar sama sekali kita melupakan aspek Agama yang menjadi tunjang kepada pendidikan mereka. Masa depan Islam bergantung kepada Iltizam mereka dan sejauh mana kefahaman mereka tentang agama mereka. Risaunya kita, apabila kita tak mampu menyekat aliran media eletronik, media cetak, internet dll, datang bagaikan tsunami mengubah aliran pemikiran dan gaya hidup masa kini. Alat komunikasi seperti handphone dah jadi trend sehingga agak sukar nak pisahkan mereka dengan apa saja aliran terkini lagi canggih.

Teringat saya satu komen Dr. Yusuf dari Department Usuluddin, IIUM dalam satu forum yang diadakan bertajuk : Globalisasi dan Impaknya kepada Masyarakat, beliau menyebut tentang 3 perkara menjadi wajib dalam kehidupan golongan muda hari ini termasuklah mahasiswa/wi, iaitu 3K: Kondominium, Kad Kredit dan Kancil? Mungkin Dr. Yusuf hanya sekadar membawa satu contoh realistic dari fenomena baru yang melanda masyarakat moden hari ini, termasuklah warga kampus yang masih menuntut di IPTA/IPTS. Walaupun sekadar memiliki sebuah kereta kancil, ianya seakan akan satu petunjuk bahawa golongan yang masih belajar dan belum bekerjapun dah mula mengejar impian mereka untuk meraih kemewahan hidup. Era globalisasi hari ini seakan-akan mendesak manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sehingga pada satu tahap mereka sanggup meninggalkan aspek agama .













Kembali kepada topik yang saya telah perkatakan sebelum ini, apa persediaan kita ( ibu bapa) untuk memahami era globalisasi ini tanpa memencilkan aspek agama? Bagaimana kita bertindak menyaringkan unsur-unsur positif dari unsur-unsur negatif yang mungkin secara tidak langsung akan mempengaruhi anak-anak kita ? Satu kedudukan yang teramat sukar, kerana situasi hari ini sama sekali tidak mengizinkan kita menutup terus sumber maklumat yang berlegar-legar di sekeliling kita. Seringkali unsur-unsur yang baik menyelit-nyelit di sebalik keburukan dan kejahatan, hatta kita tak dapat menangkis iklan-iklan yang tidak berakhlak sama ada memaparkan produk tempatan maupun dari barat, yang ditayangkan sebagai selingan di celah-celah laporan berita.

Memang tidak wajar kita mengambil sikap terlalu prejudis terhadap globalisasi. Sebagai contoh, kita sebagai ibu bapa pastinya tak boleh menafikan hak anak-anak untuk menjalani kehidupan yang selesa dan berteknologi, tidak ketinggalan zaman, dan penuh bermaklumat. Namun… sebagai ibubapa Muslim, yang bercita-cita melahirkan generasi Islam yang mewarisi segala ilmu Islam sama ada fardu ain atau kifayah, pastinya pening kepala mencari pendekatan yang fleksible dan praktikal agar anak-anak tetap istiqamah berpegang dengan ajaran Islam yang suci . Contoh yang paling simple, ialah bagaimana kita ingin melatih mereka menghargai masa, mendidik mereka agar tidak menghabiskan masa yang amat berharga dalam hidup setiap insan dengan sia-sia. Cabaran kepada kita kerana tarikan media elektronik terutamanya menghidangkan pelbagai program kanak-kanak dan remaja yang berbagai corak dan imejan, yang sebahagian besarnya bercorak hiburan dan meloyakan, bahkan seringkali juga kita terpaksa gunakan kuasa veto kita untuk menukar channel tv!.

Ya Allah, masih saya ingat waktu kecil-kecil dulu ( sekitar 70an), terdengar saja kereta ayah baru balik dari kerja atau urusan luar, tak banyak soal terus tutup tv. Tak pasti pulak adakah disebabkan takut pada ayah atau terlalu respect padanya sehingga tak perlu tunggu arahan tutup tv. Itu kisah saya lebih 3o tahun yang lalu. Berbalik kepada realiti kita dan anak-anak di abad 21, keadaannya semakin sukar untuk dikawal, tanpa kawalan yang berkesan, tak mustahil anak-anak kita tak pandai bergaul dalam masyarakat, hanya terperap di rumah bermain game atau tengok rancangan tv.

Nampaknya kita perlu mencari pendekatan yang lebih praktikal dan realistik, berpandukan kepada sumber WAHYU ( Al Quran & as Sunnah) , contohnya mendidik mereka dengan tasawwur yang jelas dan tepat tentang Islam, isi hati mereka dengan ilmu-ilmu Islam dan pada masa yang sama mereka boleh menerokainya menerusi internet. Mereka perlu dididik bahawa ianya hanya alat dan wasilah untuk mendapatkan maklumat atau apa jua info yang berguna dan sebaliknya. Sumber- sumber yang banyak dan pelbagai boleh dijadikan bahan untuk mereka menggarap dan menyaring pelbagai ilmu.

Kita tak menyalahkan alat, namun pengisiannyalah yang penting. Kalau musuh-musuh Islam menggunakan internet, blogs, sms dll untuk fitnahkan Islam, kita juga mesti menggunakan cara yang sama, perkenalkan Islam dan kebenarannya, sebarkan kebaikannya, ceritakan keagungan dan kegemilangan Umat Islam yang terbukti di dalam sejarah peradaban manusia sebagai manusia yang hebat dan gemilang kerana mereka tidak pernah kenal erti pemisahan ilmu dan agama.

Conclusionnya, perkara asas yang mesti kita lakukan ialah kita isi dulu dada anak-anak kita dengan Aqidah, Iman dan Islam, fahamkan mereka kenapa Agama Islam ini pilihan kita, panduan hidup kita, bukan sekadar agama warisan ayah ibu dan nenek moyang semata-mata . Saya cadangkan kita sendiri perlu menjadi naqib dan naqibah kepada anak-anak kita, dan juga saya cadangkan buku " ما ذا يعني إنتمائي للإسلام " "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" tulisan Fathi Yakan sebagai rujukan kita, kerana isinya cukup sesuai untuk dibacai dan dihayati oleh anak-anak kita. Bolehkah kita mulakan sekarang? Kenapa tidak…. Demi untuk anak-anak kita dan agama yang kita cintai. Siapa pun kita, pastinya kita ingin melihat anak-anak kita adalah harapan kita, Agama dan bangsa kita untuk menyambung amanat dan perjuangan dalam menegakkan kebaikan dan menyebarkannya.

Read More......