ADILKAH KITA DENGAN ANAK?

TARBIYATUL AULAD -
ADILKAH KITA DENGAN ANAK?
Qurratu a'yuun kita .... adalah mereka!

Bicara kita kali ini, ialah mengenai 'ADIL' , begitu senang kita lafazkan sekadar empat perkataan, namun seringkali pula kita tersilap perkiraan ketika kita berinteraksi dengan anak-anak kita. Setiap orang yang bergelar ayah dan ibu, pasti tanpa sedar, anak-anak kita pernah meluahkan rasa hati mereka apabila mereka melihat kita berlaku kurang ADIL ( pada pandangan mereka ) terhadap mereka. Sebagai contohnya, mungkin kita pernah beli pakaian anak sulung kita di sebuah gerai di pasar malam, manakala baju si adiknya pula kita beli di SOGO! . ADIL-kah kita bila kita tidak terniat pun untuk berlaku tidak ADIL, lantas mereka membuat kesimpulan, ayah atau ibu mereka tidak ADIL! .


Dalam banyak keadaan kita sebenarnya cuba berlaku ADIL, misalnya si abang melakukan sesuatu perbuatan yang kita tegah, misalnya menyebut perkataan tidak sopan/ mencarut, pastinya kita mudah melenting dan kalau boleh kita ingin tampar saja mulut si abang sekiranya dia telah faham dan diberitahu berulang-ulang kenapa kita melarang mereka menyebut perkataan itu sekalipun dalam keadaan marah@ tegang seperti bergaduh sesama mereka. Kemudiaan ketika anak kita yang masih kecil sekitar usia 4-7 tahun melakukan perbuatan tersebut, adakah kita juga akan bersikap sama sebagaimana sikap tegahan yang kita lakukan kepada si abang tadi. Dalam situasi sedemikian, saya sendiri seringkali ditegur oleh si abang: " Ummi tidak ADIL! ", tegur si abang yang melakukan perbuatan yang salah, dia berasa tidak puas hati kenapa pula si adik tidak pula kita tegur dan hukum?


Memang keadaan kadang-kadang sukar untuk ditangani, apa yang saya praktikkan, ialah si abang akan dihukum sebagai pengajaran - seperti di cubit mulutnya, jangan lagi melakukan kesalahan berulang setelah banyak kali di'warning' yang sama. Apabila berlaku pun pada si adik, saya hanya akan hukum dengan hukuman yang sama setelah menyatakan kenapa saya melarang mereka mengeluarkan perkataan sedemikian.

Ya, dalam banyak keadaan, anak-anak kita tidak faham kenapa berlaku sikap ibu bapa yang di anggap mereka ' tidak ADIL @ double standard, sedangkan mereka tidak melihat pula kepada sebab dan musabbabnya. Apapun, kita perlulah bijak bertindak dengan tegas tetapi felsible.

Manakala di sudut kebendaan pula, kita hendaklah berpada-pada, jangan di atas alasan untuk bersikap ADIL pada mereka, kita pula pokai! Mungkin si abang sebelum kelahiran adik-adiknya kita pernah belikan sehelai dua pakaian, kasut dll berjenama seperti untuk baju raya, kerana tertarik dengan 'sale' atau kualiti sesuatu pakaian. Manakala setelah kelahiran adik-adiknya, kita pula terpaksa berjimat cermat dan mengharapkan kita dapat berlaku ADIL tanpa menzalimi perasaan mereka.

Begitu juga dalam segi pendidikan, ianya cukup mencabar kewibawaan kita sebagai ibubapa. Anak sulung ( lelaki ) saya hantarnya ke sebuah sekolah Rendah Islam ( SRI ) swasta kerana tidak begitu yakin untuk melepaskan anaknya di sekolah Rendah Kerajaan biasa di samping ianya memudahkan saya menghantarnya ke SRI tersebut tanpa terpaksa menghantarnya ke sekolah agama pada waktu pagi atau petang. Akhirnya keputusan yang saya ambil berdasarkan beberapa faktor tadi, dan saya lupakan soal kos yang hampir RM225 sebulan pada tahun 2003.


Kemudiaan setelah adiknya mencapai usia 7 tahun dan akan memasuki Tahun Satu, saya menjadi serba salah, adakah saya ADIL jika anak kedua saya hantar ke Sekolah Rendah Kebangsaan yang tidak melibatkan kos bulanan. Maka pada masa itu, saya sebenarnya terasa sedikit tertekan -takut saya tidak berlaku ADIL, kalau si abang saya perihatin tentang pendidikan Agamanya, saya begitu mengharapkan Biah Solehah akan menghasilkan natijah yang saya harapkan. Apakah saya tidak mengharapkan natijah yang serupa kepada anak kedua? Akhirnya saya mengambil keputusan menghantar anak kedua juga ke SRI, maka kosnya menjadi berganda. Begitulah situasi saya yang dipengaruhi oleh sikap ADIL dan bimbang tidak ADIL kepada semua anak-anak saya, sehinggalah kini lima dari anak-anak saya telah saya hantar ke SRI yang sama. Sememangnya amat terasa bebanan kos bulanan dan keperluaan 'wajib' yang lain.

Alhamdulillah, saya hanya berserah kepada ALLAH SWT, saya yakin DIA Maha Mengetahui segala niat saya, kerana saya begitu takut untuk melepaskan anak-anak saya dalam sistem yang tidak seimbang antara tuntutan Agama dan pencapaian akademik, lebih-lebih lagi suasana masyarakt KL yang penuh dengan anasir-anasir negatif seperti masalah sosial yang semakin parah. Kini, anak sulung saya telah tamat Darjah Enam pada tahun lepas 2008, dan telah berjaya memasuki sebuah Sekolah Tahfiz Sains di Kelantan. Harapan saya, kesemua mereka akan mencapai target yang saya tetapkan, iaitu kejayan mereka dunia dan akhirat. Namun saya berharap saya sentiasa bersikap ADIL terhadap mereka semua walaupun kita merasa agak tertekan dari sudut kewangan. Kita sebagai ibubapa hanya mengharapkan yang terbaik untuk mereka, bagi saya duit boleh di cari, pendidikan anak-anak mesti menjadi keutamaan. Nampaknya setakat ini mereka semua 'enjoy' dan 'happy' dengan sekolah mereka dan proses pendidikan yang mereka lalui .

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ( 2009 ), mungkin ramai para ibubapa terpaksa melakukan ' cut budget' dalam banyak urusan yang melibatkan anak-anak. Misalnya hanya anak yang akan menghadapi peperiksaan seperti UPSR, PMR atau SPM yang dibenarkan mengikuti kelas tuisyen, manakala yang pelajaran mereka ok dan tidak terlalu lemah, kita kecualikan. Apa yang penting, kita mesti jelaskan kepada mereka, apa rasionalnya tindakan kita itu.

Anak saya yang keempat, ( satu-satunya perempuan ) suatu hari merengek-rengek meminta saya menghantarnya ke sebuah pusat tuisyen. Mungkin sikap anak perempuan sekarang yang kebanyakan menunjukkan minat yang lebih terhadap pelajaran mereka berbanding dengan anak lelaki. Pada mulanya saya kata ok, selepas melihat budget dan beberapa keadaan yang mana saya pasti sibuk menghantar dan mengambilnya ke pusat tuisyen tersebut, sedangkan abangnya telah mula ke pusat tuisyen yang lain kerana akan menduduki UPSR tahun depan.

Saya mula serba salah, dan menjelaskan kepadanya, bahawa pelajaranya ok dan bagus, cuma dia perlu berusaha lebuh kuat lagi dan boleh belajar sendiri untuk menjadi yang terbaik. Lalu, perkataan 'ADIL'kah saya menerjah di fikiran saya, kerana saya takut tidak berlaku ADIL kepadanya tambahan pula dia satu-satunya anak perempuan. sehingga saat ini, saya masih menangguhkan hasratnya untuk ke kelas tuisyen.

Sebagai manusia, kita hanya boleh merancang dan kita harapkan natijah yang terbaik untuk mereka semua, moga mereka bersedia untuk memahami perasaan ayah ibu mereka, yang sekali-kali tidak ingin berlaku zalim terhadap mereka. Moga sifat ADIL para ibubapa boleh mereka pelajari dengan penuh bijaksana dan kita juga sebagai pendidik mereka jangan sekali-kali terdetik untuk bertindak sesuka hati kita tanpa melihat kepada situasi anak-anak, dan Bi'ah di era millinium ini yang cukup mencabar.


Moga ALLAH sentiasa mencampakkan 'instinct' yang betul dalam hati kita di saat kita perlu membuat sesuatu keputusan besar untuk permata hati kita. Hanya DIA yang Maha Mengetahui segala niat dan amal kita demi masa depan anak-anak dan amanah di atas bahu kita untuk menjadikan mereka generasi Rabbani yang akan memikul amanah Ad Din.

0 comments: