TAZKIRAH @ MUHASABAH

TAZKIRAH RAMADAN ...



SENTIASALAH KITA BERMUHASABAH....

Sesungguhnya hidup ini terlalu singkat sekali untuk dilekakan dengan segala kenikmatan duniawi, walaupun pengaruh kebendaan @ material dalam hidup kita amat besar. Seringkali kita lupa kerana kesenangan sementara ini amat manis dinikmati berbanding dengan sukarnya perjalanan menuju CINTA ILAHI...


Marilah kita insafi sekian banyak dosa kita, yang nampak atau tersembunyi, yang zahir dan batin, yang disedari mahu pun tidak, segalanya menjadi karat yang melekat dalam hati kita. Maka syara' mewajibkan setiap Muslim dan Muslimah yang telah baligh, tiada keuzuran, kaya atau miskin semuanya mestilah melakukan kewajipan puasa dengan penuh rasa ketaatan dan ketundukan hanya kepada ALLAH, DIA-lah pemggubal hukum itu.




Bermuhasabahalah kita ... sesungguhnya tanpa kekuatan kerohanian, mana mungkin kita berjaya melawan kejahatan ' NAFSU ' , ianya perlu dididik dengan melemahkan kehendaknya, ya, kehendaknya yang besar dan hebat, termasuklah nafsu perut, nafsu mata, hidung, telinga, nafsu mulut dan lidah, nafsu seks dan pelbagai bentuk nafsu yang ALLAH kurniakan kepada setiap manusia. Inilah sebahagian dari perjuangan para soimiin dan soimaat sepanjang bulan ini.



PUASA, LAMBANG KEINDAHAN ISLAM

Islam sebagai Agama yang tidak melanggar atau menafikan hakikat fitrah manusia, fitrah yang mesti dilentur dengan baik dan konsisten. Secara langsung dan tidak langsung, Islam telah menyediakan pelbagai projek dan program besar agar manusia secara tabie'nya dapat melawan dan mendidik nafsu itu dengan sebaiknya. Misalnya nafsu makan, jika tidak dikawal jadilah kita manusia yang hanya hidup untuk makan, tanpa mengira halal haram, tanpa mengira 'healthy food' atau sebaliknya.

Maka di sinilah nafsu makan kita dididik, bukan bermaksud berpuasa dari makan dan minum selama 24 jam, kerana itu sudah melanggar fitrah manusiawi, kita hanya berpuasa dari masuknya waktu Subuh sehinggalah Maghrib, kemudiaan berbukalah kita. Bentuk latihan amali ini amat bertepatan dengan kemampuan fizikal manusia normal, masih sanggup menahan lapar seketika, tidaklah sampai menempah ajal.

Keindahan Islam amat terasa kerana kekadang manusia amat sukar mengekang nafsu makannya kecuali bagi orang yang obses dengan penampilan dirinya, badan seperti model dan selebriti, maka jadilah mereka orang2 yang sanggup makan nasi hanya sekali seminggu sahaja!



Sebenarnya manusia memiliki kemampuan fizikal yang terbatas, dan sekiranya dilakukan berlebihan dari kemampuan yang ada, tak mustahil manusia akan ditimpa pula pelbagai musibah. Jadi, Puasa menjadikan kita Insan yang 'balance' melakukan sesuatu secara sederhana dan tidaklah menzalimi diri sendiri.


Mungkin kita tak seteguh iman para Salafus Soleh yang istiqamah menghabiskan 2/3 malam mereka dengan solat, bermunajat dan membaca al quran, namun kita masih lagi boleh menjejaki qudwah hasanah mereka dengan bermujahadah dan berusaha bersungguh-sungguh .... paling tidak pahala dan ganjaran yang disediakan ALLAH tidak kita sia-siakan ..............

Ya Allah, bulan yang suci ini menjadikan hamba-hambaMU terasa semakin hampir kepadaMU, semakin merasai kasih sayang @ rahmat dariMU, merasai kasih sayang yang melimpah ruah tiada batasnya, jiwa-jiwa yang hidup dan menikmati hayat mereka dalam Islam dan Iman dapat merasakan kewujudan pertautan CINTA yang tulus dan ikhlas di antara sang makhluk dan KHALIKnya. Itulah hubungan kecintaan yang abadi kerana dariNya kita datang dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan.

0 comments: