TARBIYATUL AULAD- Bicara tentang ilmu & Guru



Betapa ILMU perlu diberikan penekanan yang paling penting buat anak-anak kita, agar mereka faham bahawa tanpa ILMU siapalah kita yang bernama manusia. Tanpa ILMU, manusia hanya dikenali sekadar manusia yang memiliki fizikal, jasad, aqal ...tak lebih dan tak kurang dari itu. Ramai sekali manusia yang hanya meletakkan ILMU hanya sebagai pencapaian formaliti semata tanpa melihat hubungkaitnya dengan kehidupan manusiawi itu sendiri.

Sewajarnya kita, sebagai ibubapa menjadi pembimbing, pendidik merangkap MURABBI yang terbaik kepada mereka, zuriat-zuriat kita sendiri. Bagi setengah ibubapa merasakan sudah cukup pengorbanan mereka apabila mereka bersusah payah menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah, kemudian menengah, kemudian ke peringkat kolej dan Universiti. Selepas itu kita beranggapan mereka sendirilah yang bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.

Mungkin, itu tradisi lama, yang sepatutnya dihapuskan. Apa keadaan sekalipun, anak-anak sentiasa memerlukan bimbingan ibu ayah mereka dalam meniti setiap saat dalam kehidupan mereka agar mereka lebih yakin dan terarah mencari laluan hidup yang bercahayakan suluhan RABBANI.

Abad kini cukup menggerunkan bagi kita, kerana kita bertanggungjawab, sama ada secara langsung atau tidak memastikan anak-anak kita berjaya dalam kehidupan mereka duniawi & ukhrawi. Oleh demikian, pernahkah kita serius berfikir dan merenung sejenak: " Apa agenda kita untuk mereka? Atau kita biarkan mereka sendiri berimaginasi .... nanti besar nak jadi apa ya? Kerap soalan itu soalan cepu mas para ibubapa samada dengan tujuan kita memancing mereka supaya menyatakan minat dan kecenderungan mereka memilih hala tuju setelah dewasa atau sekadar menguji minda mereka . Memang tidak salah kita bersikap profesional dalam menangani anak-anak kita terutama yang telah mencapai usia 18 tahun ke atas dengan memberikan kebebasan kepada mereka merangka masa depan sendiri, seperti kolej mana yang akan mereka belajar setelah tamat SPM, bidang apa yang akan mereka ceburi sebagai Major course atau minor course dll. Namun ibubapa mesti sedar, batu asasnya mestilah bermula seawal usia mereka 3 atau 4 tahun, kerana kita wajar melihat kecenderungan mereka, bakat dan
minat sedari kecil, agar tindakan susulan boleh di atur dan teratur.

Ya, untuk melihat mereka berjaya di dunia dan akhirat, langkah pertama ialah ajar anak menyintai ILMU. Ia adalah asas dan platform, dalam masa yang sama kita ajar juga mereka menghargai segala jasa orang-orang yang berjasa mencurahkan ILMU kepada mereka, meskipun mungkin sekadar mengajar mereka mengeja dan mengira 123 atau alif, ba dan ta semasa di
Tadika@preschool. Jasa orang yang sudi menberikan walau secubit ILMU kepada anak-anak kita mestilah kita hargai sebagaimana kitapun amat bersyukur sekiranya kita juga boleh memberikan apa jua ILMU yang ada pada kita pada anak-anak kita sendiri atau anak-anak orang lain. Yang penting ILMU tidak hanya terhenti kebaikannya kecuali ia semakin berkembang luas dan seterusnya terciptalah sesuatu perkara yang boleh dijadikan buah-buah ILMU.

Jadi sempena "HARI GURU' mengenang jasa setiap guru-guru kita dan guru-guru anak-anak kita, kita patut bersyukur kerana masih ramai yang mencurahkan ILMU di dada mereka dengan penuh ikhlas dan jujur tanpa mengharapkan pujian manusia. Yang paling penting, ianya adalah tanggungjawab setiap makhluk yang bernama manusia, sedar hakikat keinsanan yang menuntut setiap orang menambahkan ILMU mereka selagi tidak bertentangan dengan Syara' dan Manhaj RABBANI. Moga para guru-guru sentiasa bersedia uuntuk menyahut cabaran zaman dan merentas masa, bukan sekadar melahirkan manusia yang memiliki jasad tanpa ruh, memiliki otak tetapi tidak aqal budinya.
Sekian... buat anak-anak kita .... CARILAH ILMU DAN HORMATILAH MEREKA YANG BERILMU YANG SUDI BERKONGSI ILMU DENGAN MEREKA. TIDAK RUGI ORANG YANG BERDAMPING RAPAT DENGAN RAMAI GOLONGAN ILMUAN.

0 comments: